Thursday, 19 September 2013

perlu atau tidak bersenam ketika hamil?

Siapa kata ibu hamil tidak boleh melakukan aktiviti senaman. Hakikatnya ibu hamil disarankan untuk lebih aktif melakukan gerakan senaman ringan suapaya dapat mengurangkan kepenatan yang mudah dirasakan ketika mengandung.

Namun demikian seeloknya, ibu perlu mendapatkan nasihat daripada doktor sebelum memulakan sebarang aktiviti senaman. Bagi yang sudah biasa aktif sebelum hamil, mungkin tidak menjadi masalah untuk meneruskannya selepas mendapat kebenaran daripada doktor.

Tetapi bagi yang baru hendak bersenam, mulakan dengan gerakan yang ringan terlebih dahulu. Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Psychology and Health menyarankan ibu hamil yang belum pernah melakukan senaman agar melakukannya selama empat minggu dahulu.

Hasil penemuan mendapati ada pengurangan paras keletihan di kalangan ibu hamil. Sebenarnya paras tekanan, kecemasan dan kepenatan lebih tinggi ketika hamil  berbanding setelah melahirkan.

Anak-anak yang lahir daripada ibu yang mengalami masalah tekanan ketika hamil mempunyai paras kortisol (hormon stress) lebih tinggi ketika lahir dan semasa remaja. Ia boleh mengganggu kemampuan kognitif dan risiko gangguan perkembangan dan mental yang lebih besar.

Kepenatan sepanjang hamil juga sering dikaitkan dengan meningkatnya risiko bersalin secara pembedahan caesarean, gangguan tidur dan pengaruh negatif kepada kesihatan fizikal dan mental. Latihan rutin sepanjang mengandung diharap dapat memperbaiki kesihatan fizikal dan psikologi ibu hamil.

Dikatakan bayi yang lahir daripada ibu yang rajin berlatih aerobik sepanjang hamil akan memiliki jantung yang lebih sihat. Para pengkaji juga yakin bahawa senaman sepanjang hamil memberi manfaat kepada anak sehingga dewasa seperti menurunkan risiko penyakit jantung, strok, diabetes dan hipertensi.

Jantung merupakan otot yang akan menjadi lebih kuat jika degupannya menurun sehingga tidak perlu terlalu bekerja keras untuk mengepam darah. Justeru amalan senaman ketika hamil adalah kaedah paling awal untuk memperbaiki kesihatan kardiovaskular.

No comments:

Post a Comment